SHAH ALAM, 30 DIS: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Presiden Bersatu itu menerusi kenyataan hari ini, turut mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberi sokongan sepanjang beliau memimpin gabungan tersebut sejak penubuhannya lima tahun lepas.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada PAS termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada PAS.
Perselisihan hubungan antara PAS dan BERSATU semakin ketara selepas berlakunya pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Johor membuat pengumuman itu menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
“Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Johor. Hilang jawatan Menteri Besar pun saya, letak jawatan pengerusi PN lagilah saya suka,” katanya.
Dr Sahruddin dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 pada April 2019, sebelum digantikan dengan Datuk Hasni Mohammad pada 28 Feb 2020.


