SHAH ALAM, 21 MEI: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi kekal berdaya saing dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris berkata PKS perlu sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan meningkatkan keupayaan untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di peringkat tempatan serta antarabangsa.
“Mereka perlu bersedia, peka terhadap perkembangan semasa, meningkatkan tahap teknologi dan inovasi serta terus memperkukuh R&D.
“R&D bukan hanya tertumpu kepada pembangunan produk, tetapi juga melibatkan operasi dan proses perniagaan bagi membantu syarikat meningkatkan kecekapan dan daya saing,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui pada program Invest Selangor Update Series: Insights into the Latest Opportunities for SMEs & MTCs di sini semalam.
Hasan berkata inisiatif itu bertujuan membantu PKS mengembangkan perniagaan selain meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai program bantuan dan pembangunan yang disediakan kerajaan.

"Masih ramai usahawan PKS yang tidak mengetahui bentuk sokongan tersedia bagi membantu memperkukuh keupayaan perniagaan mereka, termasuk inisiatif berkaitan pembangunan kemahiran, peningkatan pengetahuan, akses pasaran dan produktiviti.
“Program seperti Invest Selangor Update Series memberi pendedahan kepada usahawan mengenai cabaran ekonomi dan perniagaan semasa selain membantu mereka mengenal pasti penyelesaian melalui sokongan daripada agensi kerajaan berkaitan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan PKS memberi perhatian terhadap peningkatan ilmu dan kemahiran perniagaan, memperluas akses pasaran, meningkatkan produktiviti serta menambah baik kualiti produk.
Sementara itu, Hasan berkata Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bakal diperkenalkan bertujuan memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati semua pihak termasuk syarikat besar, PKS dan rakyat menerusi pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Penciptaan pekerjaan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi inklusif kerana peningkatan pelaburan dan aktiviti perniagaan akan mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas merentasi pelbagai sektor.
“Apabila terdapat lebih banyak aktiviti perniagaan dan pelaburan, permintaan terhadap produk, perumahan serta pelbagai perkhidmatan juga akan meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan PKS sentiasa mengikuti pengumuman rasmi oleh Invest Selangor dan agensi kerajaan lain, selain menyertai program pembangunan serta meneroka pasaran dan teknologi baharu bagi memperkukuh potensi pertumbuhan jangka panjang.








