SHAH ALAM, 29 DIS: Skim air percuma 20 meter padu sebulan kini dibuka kepada penduduk Selangor dengan pendapatan isi rumah bawah RM6,000.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan permohonan Skim Air Darul Ehsan (SADE) boleh dibuat melalui portal Aplikasi KitaSelangor Sepadu (AKSES) bermula hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan peningkatan had pendapatan isi rumah penerima SADE daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2026.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos pelaksanaan program itu dianggarkan berjumlah RM52.7 juta setahun, manakala RM20 juta diperuntukkan bagi tahun 2026 untuk menampung sebahagian kos pelaksanaan.
Menurut beliau, baki kos akan ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Setakat Julai lalu, seramai 337,851 keluarga di Selangor menerima manfaat 20 meter padu air percuma setiap bulan menerusi inisiatif SADE yang diperkenalkan sejak 2019.
Bermula 1 September lepas, pelarasan tarif air di Selangor dilaksanakan. Namun, tiada kenaikan untuk majoriti rakyat yang guna air sehingga 20 meter padu sebulan. Caj kekal 65sen bagi setiap meter padu seperti sebelum ini.
Langkah tersebut untuk menjamin kelestarian bekalan jangka panjang, selain memastikan golongan sasar menerima bantuan. Air Selangor, yang membekalkan air kepada lebih 9.6 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, melaksanakan pelarasan mengikut garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).


