SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri meningkatkan had pendapatan isi rumah penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) daripada RM5,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan air percuma.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos pelaksanaan program itu dianggarkan RM52.7 juta setahun, manakala RM20 juta diperuntukkan untuk 2026 bagi menampung sebahagian kos, sementara baki akan ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
“Bagi 2026, RM20 juta diperuntukkan bagi menampung sebahagian kos pelaksanaan, manakala baki pelaksanaan program ini akan ditanggung oleh Air Selangor,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.
Langkah ini turut mengambil kira kenaikan tarif air yang diluluskan oleh Putrajaya pada Julai lepas, di mana Kerajaan Negeri mengikhtiarkan peluasan manfaat RM13 sebulan bagi setiap akaun.
Warga Selangor yang berpendapatan sehingga RM6,000 sebulan dan memerlukan bantuan air percuma boleh mendaftar melalui laman web Air Selangor
Selain itu, lebih 1.3 juta rakyat Selangor yang sedia menerima manfaat SADE akan terus menikmati bantuan pada nilai yang sama.
Amirudin juga mengumumkan peruntukan RM110.1 juta oleh Air Selangor bagi 2026 untuk kerja pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan perunding di beberapa kawasan strategik termasuk Petaling, Gombak, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.





