Sistem AKSES ganti SSIPR, permohonan skim air percuma Selangor kini atas talian

31 Dis 2025, 12:30 PM
Sistem AKSES ganti SSIPR, permohonan skim air percuma Selangor kini atas talian

SHAH ALAM, 31 DIS: Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) kini dinaik taraf dan berwajah baharu kepada Sistem Aplikasi KitaSelangor Sepadu (AKSES).

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor memaklumkan bermula April 2026, rakyat Selangor boleh melayari sistem AKSES untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Program Iltizam KitaSelangor Penyayang.

Pada masa sama, bermula 29 Disember 2025, rakyat Selangor yang berkelayakan boleh membuat permohonan Skim Air Darul Ehsan (SADE) secara dalam talian menerusi sistem AKSES.

Menurut pemakluman itu, permohonan baharu SADE wajib dibuat melalui sistem AKSES dan tidak lagi diterima melalui sistem SSIPR atau borang manual.

Bagaimanapun, permohonan SADE yang telah dibuat sebelum ini akan diteruskan seperti biasa.

Bagi penerima SADE sedia ada, potongan bil bagi 20 meter padu air pertama akan diteruskan tanpa perlu membuat permohonan baharu.

Namun, penerima sedia ada diwajibkan log masuk ke sistem AKSES bagi mengemas kini maklumat peribadi, termasuk alamat atau butiran bil air sekiranya terdapat perubahan.

Pembatalan penerimaan SADE juga boleh dilakukan secara terus melalui sistem AKSES.

Untuk maklumat lanjut layari https://akses.selangor.gov.my/.