KAJANG, 3 SEPT: Program jerawayara berhubung Skim Air Darul Ehsan (SADE) akan dianjur lebih rancak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bagi membolehkan rakyat mendapat air percuma.
Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chun Wei berkata pihaknya juga akan mempergiatkan maklumat skim berkenaan di sosial media supaya penduduk mengetahui lebih lanjut termasuk cara permohonan.
“Kerajaan Negeri melaraskan had pendapatan isi rumah kepada RM6,000 sebulan. Saya jangka lebih ramai terima manfaat selepas ini.

"Kita akan buat jerayawara dan menguar-uarkan SADE ini melalui media sosial. Saya juga akan ambil kesempatan mengumumkan perkara ini ketika adanya program bersama rakyat,” katanya.
Bermula kelmarin, Selangor melaksanakan pelarasan tarif air. Bagaimanapun tiada kenaikan untuk majoriti rakyat yang menggunakan air sehingga 20 meter padu sebulan. Caj kekal 65sen bagi setiap meter padu seperti sebelum ini.
Langkah tersebut untuk menjamin kelestarian bekalan jangka panjang, selain memastikan golongan sasar menerima bantuan.
Berikutan itu Kerajaan Negeri meningkatkan had kelayakan pendapatan isi rumah skim ini daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan bermula 1 Ogos lalu.