Syarat kelayakan dilonggar, 18,091 penerima baharu skim air percuma

9 Nov 2026, 1:00 AM
Syarat kelayakan dilonggar, 18,091 penerima baharu skim air percuma

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 18,091 penerima baharu menikmati manfaat Skim Air Darul Ehsan (SADE) ekoran had kelayakan dilonggar kepada isi rumah berpendapatan RM6,000 dan ke bawah.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), ia menjadikan bilangan keseluruhan 374,147 penerima menikmati manfaat 20 meter padu air percuma setiap bulan sejak diperkenal mulai 30 September 2019.

“Secara keseluruhan, sejak 30 September 2019 hingga 31 Oktober lalu, Air Selangor menerima 412,278 pendaftaran SADE. Daripada jumlah itu, 374,147 diluluskan menerima manfaat skim itu.

“Sejak peluasan had kelayakan kepada isi rumah berpendapatan RM6,000 dan ke bawah pada Ogos 2025, sebanyak 23,817 pendaftaran diterima dengan 18,091 diluluskan,” katanya kepada Media Selangor.

Orang ramai yang mahu memohon boleh berbuat demikian melalui Sistem Aplikasi KitaSelangor Sepadu (AKSES) melalui pautan akses.selangor.gov.my/#iltizam-pemberdayaan-rakyat-selangor

Mulai 1 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan had kelayakan pendapatan isi rumah untuk memohon SADE dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

Setiap penerima menerima manfaat potongan bil bagi 20 meter padu air pertama.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali memaklumkan pihaknya menyasar 500,000 penerima layak menikmati air percuma 20 meter padu menerusi skim tersebut.

Bermula 1 September 2025, tarif air di Selangor dilaraskan tetapi tiada kenaikan untuk isi rumah yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan. Caj kekal 65 sen setiap meter padu seperti sebelum ini.

Langkah tersebut bertujuan menjamin kelestarian bekalan jangka panjang selain memastikan golongan sasar menerima bantuan.

Air Selangor yang membekal air kepada lebih 9.6 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya membuat pelarasan itu mengikut garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.