SHAH ALAM, 30 DIS: Kombo Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) tampil dengan ‘busking’ muzik tradisional asli di Muzium Sultan Alam Shah, menghiburkan pengunjung sambil menekankan kepentingan memelihara identiti budaya Selangor.
Gitaris Kombo PADAT, Azrad M Ramlan berkata pemilihan lagu dibuat secara spontan oleh ahli kumpulan bergantung kepada generasi pengunjung yang hadir bagi memastikan muzik tradisional dapat dinikmati semua peringkat umur.
“Kali ini kami cuba kelainan dengan bermain muzik secara busking. Setiap lagu dipilih berdasarkan idea spontan oleh ahli kumpulan dan juga citarasa pengunjung yang hadir.

Melalui pendekatan ini, bukan sahaja pengunjung dapat dihiburkan malah mereka berpeluang mendalami seni warisan secara langsung,” katanya kepada Media Selangor.
Azrad menambah, faktor permintaan yang rendah daripada pendengar menjadi cabaran utama bagi buskers muzik tradisional, justeru, masyarakat digalakkan mendalami lagu tradisional dan filem Melayu klasik bagi menghargai sejarah dan budaya tanah air.
Beliau turut menekankan bahawa usaha memelihara muzik tradisional bukan sahaja tanggungjawab penggiat seni tetapi memerlukan sokongan masyarakat bagi memastikan warisan ini terus hidup dan relevan dalam era muzik moden.




