SHAH ALAM, 29 DIS: Kepelbagaian aktiviti berteraskan warisan yang dianjurkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) berjaya menarik minat pelancong dari serata negeri untuk berkunjung ke Muzium Sultan Alam Shah, khususnya sepanjang cuti sekolah.
Penolong Kurator di Bahagian Pemuziuman dan Warisan PADAT, Azrizal Ahmad berkata aktiviti yang disusun melibatkan pengunjung daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dan dewasa bagi memastikan pengalaman lawatan yang lebih interaktif dan bermakna.
“Tarikan utama termasuk Mini Explorace @ MSAS untuk peserta mendalami sejarah Selangor manakala demonstrasi seni telepuk dan kelingkan dengan mempamerkan proses pembuatannya.

“Program yang dianjurkan bukan hanya tertumpu kepada rakyat Selangor, sebaliknya terbuka kepada semua. Sepanjang program berlangsung, kami turut menerima pengunjung dari Kedah, Johor dan Perak,” katanya kepada Media Selangor.
Azrizal turut memaklumkan muzium kini berdepan persaingan dengan taman tema sebagai destinasi pelancongan, namun kandungan yang dikongsikan pengunjung di platform TikTok banyak membantu menarik minat orang ramai untuk berkunjung.
Sementara itu, seorang pengunjung, Sabariah Mohamad, 53, yang datang bersama anak-anaknya dari Mersing berkata lawatan ke muzium menjadi medium terbaik untuk memupuk minat anak-anak terhadap sejarah negeri lain di Malaysia.

Katanya, selepas mengunjungi muzium di Pahang sebelum ini, beliau merancang membawa anak-anak melawat muzium di negeri-negeri lain sebagai pendedahan berterusan kepada sejarah tanah air.
“Ibu bapa perlu menyokong anak-anak belajar sejarah kerana pengalaman di muzium lebih berkesan berbanding pembelajaran teori melalui buku.
Selain itu, generasi masa kini juga perlu memahami sejarah dan menghargai pengorbanan terdahulu bagi membentuk jati diri serta semangat mempertahankan tanah air,” tambahnya.








