SERDANG, 29 OKT: Pewartaan Telepuk Selangor sebagai warisan seni tekstil rasmi negeri dijangka dimuktamad tahun depan, maklum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini dalam fasa akhir penyediaan dokumen dan kajian bagi memastikan seni warisan itu diiktiraf serta dipelihara secara rasmi.
“Ia dalam proses, kita sedang ambil masa dan ada melibatkan dokumentasi dan sebagainya. Kelingkan juga belum. Itu memerlukan kajian yang kukuh dan juga memerlukan dokumentasi yang utuh.
“Jadi sebelum kita hantar untuk kita wartakan dan sebagainya, kita perlu ada justifikasi, perincian terhadap elemen-elemen yang hendak digazetkan. Mungkin dalam tahun depan kita akan dapat muktamadkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama sempena Simposium Antarabangsa Komunikasi Warisan bertemakan Khazanah Warisan Cerminan Peradaban Bangsa di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Jelas Amirudin penggunaan elemen seni tekstil warisan itu turut ditonjolkan ketika istiadat persandingan Pasangan Diraja Selangor Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.
“Pada masa yang sama, perlahan-lahan kita sudah mula gunakan. Contoh, istiadat pernikahan dan perkahwinan Raja Muda Selangor. Pakaian Baginda ada aspek-aspek seperti kelingkan dan telepuk menggunakan benang emas dan itu memang tradisi dalam Istana Selangor dan ditonjolkan ketika istiadat persandingan Raja Muda Selangor,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata perbincangan fokus kumpulan mengenai pewartaan Telepuk Selangor sebagai warisan seni tekstil negeri Selangor yang diadakan September lalu, menjadi platform penting dalam merangka hala tuju pewartaan itu.
Menurut Facebook Royal Selangor Office telepuk adalah teknik menghias kain dengan serbuk atau daun emas, mencipta motif yang berkilauan dan memancarkan keindahan tersendiri.
Ia menjadi pilihan bagi upacara bersejarah iaitu istiadat persandingan Pasangan Diraja Selangor Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini dengan motif yang dipilih ialah tampuk manggis, iaitu corak buah manggis.

Dalam simbolisme diraja dan budaya, manggis melambangkan kesucian, keindahan dalaman dan kekuatan yang tenang, sifat yang luhur dan sesuai dengan martabat serta kesungguhan sesebuah ikatan diraja.
Motif ini amat disayangi Almarhumah Tengku Ampuan Jemaah Almarhum Raja Ahmad, suri kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dan moyang kepada Tengku Amir Shah yang dikenang sebagai penaung seni warisan yang tekun memperjuangkan kraf tradisional Melayu, termasuk seni telepuk yang turut diamalkan sendiri oleh baginda.





