SHAH ALAM, 8 JAN: Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor ditutup sementara kepada orang bermula semalam hingga 10 Jun depan bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf bangunan.
Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) memaklumkan, semua lawatan dan aktiviti di premis ditangguhkan sepanjang tempoh tersebut.
“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan amat menghargai kerjasama serta pemahaman anda,” katanya menerusi Facebook.
Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang terletak di Bukit Malawati merupakan bangunan lama yang juga bekas kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor.
Muzium berkenaan menghimpunkan sejarah Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran negeri terawal selain meyaksikan bermulanya institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu (Sultan Salehuddin) pada 1766.


