SHAH ALAM, 6 NOV: Orang ramai berpeluang merasai makanan warisan dari sembilan daerah sempena Fiesta Makanan Warisan Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 17 November.
Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat) memaklumkan pihaknya turut berhasrat mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan terbesar makan punten, makanan tradisi Jawa.
Bermula 10 pagi hingga 3 petang, pertandingan wau kapal tradisi turut dianjurkan dengan hadiah wang tunai lebih RM7,000 menanti pemenang bagi kategori tercantik dan paling tegak.
“Selain punten, pengunjung juga akan dihidangkn dengan pelbagai jenis makanan warisan dari sembilan daerah di Selangor seperti sate kajang, lontong, wadai kepeng dan wajik sirat serta makanan halal masyarakat Cina dan India seperti loh mai kai.
“Datang beramai-ramai dan sertai pengalaman gastronomi unik ini sambil meraikan keindahan dan kepelbagaian kulinari Selangor. Jumpa anda di sana,” katanya di Facebook.
Selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk motosikal, turut dianjurkan persembahan kebudayaan, Jualan Rahmah, zoo haiwan jinak, saringan kesihatan, kaunter zakat dan Smart Selangor.
Sebelum ini, EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata program berkenaan memberi peluang orang ramai merasai pelbagai juadah Jawa, Bugis, Banjar dan Minang yang popular di Selangor.
Pada 2022, nasi ambeng telah diwartakan sebagai makanan tradisi dan warisan Selangor serta pewartaan itu dibuat Kerajaan Negeri melalui Padat.
Malah, Kerajaan Negeri turut menerima sijil pengiktirafan daripada MBOR menerusi fiesta hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia dengan penyediaan 2,022 dulang hidangan di Pantai Bagan Lalang.
Selain nasi ambeng, Sate Kajang yang sinonim dengan bandar Kajang sejak 1917 turut diwartakan sebagai makanan tradisi warisan Selangor.
[caption id="attachment_552285" align="aligncenter" width="784"]
EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah (empat dari kiri) menerima sijil Pengiktirafan Malaysia Book Of Records yang diaugerahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor atas penganjuran Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 yang berjaya menyediakan 2,022 dulang nasi ambeng di Pantai Bagan Lalang, Sepang.pada 27 November 2022.Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI[/caption]


