SHAH ALAM, 29 DIS: Kejohanan Memanah Tradisional E’TIHAD yang berlangsung di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, menghimpunkan hampir 200 peserta kategori cilik, remaja dan dewasa.
Kejohanan tersebut dirasmikan oleh EXCO Infrastruktur merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah, Dato’ Ir Izham Hashim.
Program anjuran E’tihad Archery Club dengan kerjasama Pejabat Dewan Negeri Pandan Indah serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu menampilkan pertandingan dalam format memanah tradisional statik dan ‘fast shooting’.
MPAJ memaklumkan menerusi Facebook, kejohanan berkenaan bukan sahaja mengetengahkan kemahiran teknikal dan disiplin pemanah, malah berperanan memartabatkan warisan sukan memanah tradisional serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
“Penganjuran kejohanan ini turut dilihat sebagai platform pembangunan bakat, khususnya dalam kalangan atlet muda, selain memperluas pendedahan terhadap sukan memanah tradisional kepada masyarakat umum,” maklumnya.




