ad

Kelab memanah tidak berdaftar jejas pembangunan sukan, sukar salur dana

15 Sep 2025, 2:07 AM
Kelab memanah tidak berdaftar jejas pembangunan sukan, sukar salur dana
Kelab memanah tidak berdaftar jejas pembangunan sukan, sukar salur dana
Kelab memanah tidak berdaftar jejas pembangunan sukan, sukar salur dana
Kelab memanah tidak berdaftar jejas pembangunan sukan, sukar salur dana
Kelab memanah tidak berdaftar jejas pembangunan sukan, sukar salur dana

HULU LANGAT, 15 SEPT: Kelab memanah yang aktif di lapangan tetapi masih belum berdaftar secara rasmi disifatkan sebagai cabaran kepada pembangunan sukan memanah di peringkat akar umbi, kata Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hulu Langat.

Menurut Mohd Akmal Adha Mohd Sanusi, situasi itu menyukarkan usaha penyaluran dana selain turut menjejaskan peluang mereka untuk mendapat bantuan pembangunan sukan dari kementerian.

“Banyak kelab yang aktif di lapangan, tetapi tidak mendaftar dengan mana-mana badan rasmi. Ini menyukarkan proses mendapatkan pengiktirafan serta kemudahan pembiayaan.

“Justeru, saya mengingatkan kelab terbabit perlu mengambil langkah sewajarnya untuk berdaftar dengan pihak berkuasa sukan supaya saluran bantuan dapat dipermudahkan,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Memanah KMU Peringkat Negeri Selangor 2025 di Padang Memanah AKMA di sini semalam.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hulu Langat, Mohd Akmal Adha Mohd Sanusi (kiri) menyampaikan Replika Cek kepada Timbalan Pengerusi Kelab Memanah Utama (KMU), Khairunnizam Sarjuni (kanan) pada Pertandingan Memanah KMU Peringkat Negeri Selangor 2025 di Pusat Latihan Kelab Memanah AKMA, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi pada 14 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mohd Akmal Adha menambah, kerjasama antara agensi kerajaan dan persatuan penting dalam usaha mencungkil bakat muda dalam sukan memanah kerana program latihan boleh disusun secara teratur serta membuka lebih banyak peluang penyertaan untuk mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Memanah Utama (KMU), Khairunnizam Sarjuni memaklumkan kejohanan kali ini menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 320 peserta melibatkan kategori umur B9, B12 dan B15.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga medan pemilihan untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dan Sukan Malaysia (SUKMA). Ia juga memberi pendedahan awal kepada bakat muda sebelum bersaing di peringkat senior,” jelasnya.

Tambah beliau, keputusan dan skor peserta dari kejohanan ini akan direkodkan dalam ranking rasmi Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) sekali gus mempengaruhi kedudukan atlet dan peluang mereka untuk terpilih ke kejohanan seterusnya.

Dalam pada itu, Khairunnizam turut berharap pasukan memanah Selangor dapat mencapai kejayaan cemerlang dalam temasya SUKMA tahun depan, hasil pendedahan awal dan latihan berterusan diterima melalui kejohanan seperti itu.

enyelaras DUN Sungai Ramal, Mazwan Johar (tengah) bergambar bersama peserta pada Pertandingan Memanah KMU Peringkat Negeri Selangor 2025 di Pusat Latihan Kelab Memanah AKMA, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi pada 14 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.