Surau era 1950-an Kampung Baru Batu Caves terima sumbangan karpet baharu

29 Dis 2025, 4:00 AM
Surau era 1950-an Kampung Baru Batu Caves terima sumbangan karpet baharu

GOMBAK, 29 DIS : Surau yang dibina sejak tahun 1950-an di Kampung Baru Batu Caves, di sini menerima bantuan karpet menerusi Projek Selangor Penyayang.

Pengerusi Surau Al Ehsan, Mohideen Hanifah berkata bantuan disalur Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari itu sekali gus memberi keselesaan kepada lebih 500 jemaah di situ.

"Walaupun tak digunakan sebagai tempat solat Jumaat, tapi ramai yang datang solat Aidiladha dan Aidilfitri di sini, ada penduduk Kampung Baru Batu Caves, Kampung Datuk Karim. Ada juga jemaah daripada Taman Selayang dan Apartment Desa Putera.

"Karpet baharu ini menggantikan karpet 10 tahun lepas, memang selesa. Alhamdulillah atas sumbangan yang diberikan ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pengerusi Surau Al Ehsan, Mohideen Hanifah

Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkunjung ke surau berkenaan bagi melihat ruangan dalam surau yang sudah diganti karpet baharu bersama ahli jawatankuasa surau juga penduduk setempat.

"Untuk surau ini kita beri sumbangan karpet menerusi Projek Selangor Penyayang. Insya-Allah akan memanfaatkan 300 hingga 500 penduduk. Alhamdulillah semua berjalan baik dan saya pun dapat berjumpa dengan jawatankuasa," katanya.