LUAS laksana sistem pemantauan blok sungai, kesan pencemaran lebih cepat

28 Dis 2025, 6:44 AM
LUAS laksana sistem pemantauan blok sungai, kesan pencemaran lebih cepat

SHAH ALAM, 28 DIS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah memulakan pelaksanaan pemantauan blok sungai di seluruh negeri sebagai langkah sistematik untuk mengenal pasti aliran pelepasan efluen yang memasuki lembangan sungai utama.

Menurut LUAS, pelaksanaan pemantauan itu melibatkan pensampelan kualiti aliran efluen yang memasuki sungai bagi membolehkan inventori aktiviti di sepanjang sungai disediakan dengan lebih tepat dan menyeluruh.

“Melalui pembangunan inventori ini, radius siasatan terhadap isu pencemaran sungai dapat dikecilkan sekali gus mempercepatkan proses mengenal pasti punca sekiranya berlaku permasalahan kualiti air sungai,” katanya dalam kenyataan.

LUAS memaklumkan pendekatan berkenaan juga membantu mempercepatkan pelaksanaan langkah mitigasi serta penyelesaian terhadap sebarang insiden pencemaran sungai yang dikenal pasti.

Menurut kenyataan itu juga, pemantauan dan rondaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada aliran atau aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai di Selangor.