SHAH ALAM, 28 DIS: Penutupan jalan akan dilaksanakan di sebahagian Persiaran Subang, Subang Jaya bermula 29 Disember ini hingga 11 Januari 2026 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja korekan dan pengalihan kabel elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan, pelaksanaan penutupan itu turut melibatkan pengenalan laluan kontra (contra flow) dari persimpangan USJ 7/3A hingga persimpangan Jalan Subang 2 bagi memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan terlibat.
Menurut kenyataan MBSJ menerusi Facebook, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi papan tanda dan arahan keselamatan yang disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.
“Segala kesulitan amat dikesali dan kerjasama orang ramai amat dihargai,” katanya.



