SELAYANG, 27 DIS: Penyelesaian masalah banjir dan kebersihan menjadi tumpuan utama pentadbiran ketika ini bagi memastikan isu berkait keperluan rakyat bergerak seiring dengan kemajuan ekonomi negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dua masalah terbabit tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Berdasarkan rekod pencapaian penyelesaian dan cara, insya-Allah kita yakin dapat selesaikan selain dapat bantu mereka yang memerlukan.
“Menjadikan negeri kita lebih baik, bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi rakyatnya juga kuat dan sihat. Kita bersama-sama dalam kemajuan dan pembangunan yang ada,” katanya.
Beliau berucap demikian lawatan ke projek di Parlimen Gombak serta serahan sumbangan Kembali ke Sekolah kepada pelajar di DUN Gombak Setia, hari ini.
Amirudin berkata setiap enam bulan, pentadbirannya akan menyemak bilangan ketegori rakyat miskin tegar supaya mereka segera dibantu dan dapat keluar dari kumpulan terbabit.
“Kerajaan Negeri akan segera usaha ikhtiarkan. Kalau ada dalam kategori itu, Lembaga Zakat Selangor akan bantu. BINGKAS (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor), STR (Sumbangan Tunai Rahmah) akan datang supaya mereka keluar dari miskin tegar,” katanya.
Amirudin berkata walaupun merekodkan jumlah pelaburan tinggi RM100 bilion tahun lalu dengan mencipta lebih 30,000 peluang kerja, namun pihaknya masih giat berusaha dan tidak berpuas hati di takuk terbabit.
“Kita bantu rakyat antaranya dengan Jualan Ehsan Rahmah selain Ehsan Mart. untuk apa? Untuk rakyat dapatkan keperluan dengan harga lebih murah, berpatutan,” katanya.


