SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan persekutuan menyalurkan RM3.5 bilion dengan tambahan RM500 juta oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek mitigasi banjir di seluruh Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana yang dibelanjakan merupakan bukti kesungguhan kerajaan dalam melindungi rumah, harta benda dan keselamatan rakyat di negeri ini.
“Pasukan teknikal aktif turun padang untuk menilai punca banjir dan memastikan projek-projek tertangguh dapat selesai segera.
“Kawasan-kawasan kritikal seperti Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Kuala Selangor, Kajang, Selayang dan Sepang antara lokasi berisiko banjir yang sudah dilawati,” maklumnya menerusi Facebook.

Amirudin menambah pelaksanaan projek mitigasi akan melindungi ekonomi Selangor yang menjadi nadi industri dan perdagangan negara.
“Pembinaan projek seperti pembinaan kolam takungan, penaiktarafan sistem saliran dan pemulihan sungai dapat meningkatkan daya tahan bandar dan mengurangkan risiko bencana.
“Setiap yang dilaburkan hari ini adalah demi kesenangan masa depan agar Selangor sebagai negeri maju, selamat dan makmur, walau apa jua cabaran cuaca yang mendatang,” ujarnya lagi.