Projek pembangunan di Ampang Jaya berjalan, lengkapi keperluan rakyat

27 Dis 2025, 9:57 AM
Projek pembangunan di Ampang Jaya berjalan, lengkapi keperluan rakyat

AMPANG JAYA, 27 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang melaksanakan beberapa projek pembangunan termasuk pembinaan laluan baharu menuju Kemensah bagi menambah baik akses ke kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek bermula dari UK Perdana itu dijangka memberi manfaat kepada beberapa kem dan pusat latihan di Kemensah dengan menyediakan akses yang lebih lancar.

“Ada juga proses pemutihan premis yang telah dijalankan sejak 2013. MPAJ sudah membuat kajian sepenuhnya dan selepas ini akan disusuli dengan pemberian kebenaran termasuk urusan berkaitan tanah.

“Selain itu, kita juga sedang membangunkan semula dua pusat perniagaan yang terbakar beberapa tahun lalu termasuk Taman Rekreasi Madani (TRM). Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah meluluskan projek tersebut untuk dilaksanakan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan agihan sumbangan Kembali ke Sekolah kepada pelajar DUN Hulu Kelang, di sini.

Terdahulu, ahli Parlimen Gombak itu turut meninjau isu kos sara hidup, menyantuni masyarakat setempat serta memantau pelaksanaan projek pembangunan di kawasan terbabit.

Lawatan dimulakan dengan sesi beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Pasar Tani Taman Melawati, termasuk edaran kalendar 2026 serta sarapan pagi di Mail Mee Rebus selama kira-kira 20 minit yang membuka ruang komunikasi dua hala antara rakyat dan kepimpinan negeri.

Beliau kemudian mengadakan lawatan ke cawangan ke-16 Ehsan Mart di Taman Melawati bagi meninjau operasi pasar raya komuniti yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Dalam lawatan tersebut, Amirudin turut menggunakan kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan asas sebelum disalurkan kepada golongan memerlukan.