Dulu anak asnaf kini jadi pembayar zakat

31 Ogos 2026, 12:00 PM
Dulu anak asnaf kini jadi pembayar zakat
Dulu anak asnaf kini jadi pembayar zakat
Dulu anak asnaf kini jadi pembayar zakat

Deruman motosikal roda tiga dari Shah Alam ke Puchong menjadi rutin mingguan Ashraful Mubbarak Huseini. Setiap kilometer ada bawa kisah tersendiri.

Di motor itulah, bapanya dibawa mendapatkan rawatan susulan tiga kali seminggu ketika beliau sendiri bergelut menamatkan pengajian dan mencari sesuap rezeki.

Suka atau tidak, beliau perlu membahagi masa antara pengajian kuliah, tugasan akademik, kerja sambilan dan tanggungjawab menjaga keluarga.

Itulah perjalanan yang dilalui anak muda dari Batang Kali itu. Dari membesar hasil bantuan zakat, beliau kini penyumbang zakat yang membantu keluarga serta golongan memerlukan.

Ashraful Mubbarak, kini berusia 26 tahun, membuktikan betapa bantuan hanyalah permulaan. Keazaman untuk mengubah nasib diri dan keluarga menjadi faktor yang membawanya keluar daripada belenggu kemiskinan.

Liku kehidupannya tidak pernah mudah. Ketika menuntut pada peringkat diploma, rumah keluarganya musnah dalam kebakaran. Bukan sahaja hilang tempat berteduh, mesin dan peralatan perniagaan air soya milik bapanya yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga turut hangus dijilat api.

Belum sempat keluarga itu bangkit, negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam tempoh sama, beliau perlu menyiapkan projek akhir pengajian sambil menjaga bapanya yang menjalani rawatan susulan setiap seminggu.

Tekanan yang datang bertalu-talu dalam masa singkat pernah membuatkannya hampir mengorbankan impian untuk menamatkan pengajian.

"Waktu itu saya kena jaga ayah, belajar dan bekerja dalam masa yang sama. Ada ketika saya rasa macam saya tak mampu buat semuanya serentak. Waktu itu saya rasa kalau saya tak habiskan diploma pun tak apa.

“Rumah baru terbakar dan saya mahu fokus kepada keluarga. Semua berlaku dalam tempoh tidak sampai empat bulan. Waktu itulah saya rasa seperti sudah tidak mampu buat semua benda dalam satu masa," katanya.

Namun, kata-kata ibu bapa dan adik-beradiknya menjadi azimat saat semangatnya hampir runtuh.

"Keluarga memang beri 100 peratus kepercayaan kepada saya. Mereka kata, tak apa, teruskan belajar. Sudah mula, jangan berhenti tengah jalan, habiskan. Itu yang buat saya cuba juga untuk teruskan pengajian," katanya.

Ashraful Mubbarak Huseini ketika tamat pengajian

Bapanya menjadi inspirasi terbesar sepanjang perjalanan itu. Melihat kegigihan membesarkan sembilan anak melalui pelbagai pekerjaan menjadi Ashraful percaya setiap kesusahan boleh diatasi dengan usaha berterusan.

Saban hari, pemuda itu memberi tumpuan kepada pengajian. Hujung minggu dimanfaatkan dengan bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan serta kru katering bagi menampung keperluan sendiri dan membantu keluarga.

Sepanjang tempoh itu, bantuan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) antara faktor penting yang memastikan impiannya tidak terhenti di tengah-tengah jalan.

Sejak di bangku sekolah rendah hingga menamatkan pengajian ijazah, beliau menerima bantuan meliputi yuran pengajian, tempat tinggal dan kewangan.

Malah, lima adik-beradiknya yang melanjutkan pelajaran turut menerima sokongan sama. Namun, bagi Ashraful, bantuan bukanlah tiket untuk terus bergantung.

"Kalau dapat bantuan tetapi kita tidak ada usaha, benda itu tidak akan jadi. Saya fikir, kalau orang sudah tolong saya, takkan saya tidak boleh tolong diri sendiri untuk buat yang terbaik."

Pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik pada penghujung 2025 sebelum memulakan kerjaya sebagai jurutera pada tahun berikutnya.

Hari ini, sebahagian pendapatannya disalur kepada keluarga. Lebih bermakna, anak muda yang suatu ketika dahulu bergelar asnaf kini menunaikan zakat, sekali gus membantu golongan yang pernah senasib dengannya.

"Dulu kita yang dapat bantuan, sekarang kita pula bayar zakat. Itu yang buat saya gembira kerana sekarang saya boleh memberi kepada orang lain, bukan hanya menerima."

Baginya, kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada kesempitan hidup, tetapi membebaskan diri daripada pemikiran betapa kemiskinan ialah takdir yang tidak boleh diubah.

"Kalau kita dapat bantuan sebanyak mana pun tetapi kita sendiri tidak ada sifat mahu memerdekakan diri, kita tidak akan berjaya. Kita kena tinggalkan rasa negatif dan percaya kita mampu mengubah kehidupan."

Grafik Farah Azila Mustapha

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.