Zakat Selangor buka jalan lima penghuni Baitus Salam ke menara gading

5 Jul 2026, 1:00 PM
Zakat Selangor buka jalan lima penghuni Baitus Salam ke menara gading

SHAH ALAM, 5 JULAI: Sokongan pembayar zakat terus membuka peluang pendidikan kepada golongan memerlukan apabila lima penghuni Baitus Salam berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Selangor (UIS) pada sesi kemasukan Jun lalu.

Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) memaklumkan kejayaan itu membuktikan agihan zakat dalam bidang pendidikan bukan sekadar membantu memenuhi keperluan harian, malah memberi ruang kepada anak-anak asnaf membina masa depan yang lebih cerah.

Menerusi hantaran di Facebook, agensi itu memberitahu kesemua mereka mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Diploma Multimedia.

“Semoga langkah pertama ini menjadi permulaan kepada perjalanan yang penuh ilmu, pengalaman dan kejayaan. Teruskan belajar, berusaha dan manfaatkan setiap peluang yang diberikan.

“Inilah antara amanah zakat yang disalurkan dalam bidang pendidikan. Dengan sokongan para pembayar zakat, anak-anak yang dibimbing di bawah Baitus Salam berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading dan membina masa depan yang lebih cerah.

“Hari ini mereka melangkah sebagai pelajar. Insya-Allah, suatu hari nanti mereka akan melangkah sebagai insan yang kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Zakat Selangor turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada lima pelajar berkenaan serta merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang terus menunaikan tanggungjawab sehingga membolehkan lebih ramai anak-anak asnaf mengubah masa depan melalui pendidikan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.