Awas panggilan palsu, pusat respons polis tidak pernah hubungi orang awam

27 Dis 2025, 5:58 AM
Awas panggilan palsu, pusat respons polis tidak pernah hubungi orang awam

SHAH ALAM, 27 DIS: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) beroperasi sebagai pusat panggilan komunikasi sehala dan tidak pernah menghubungi individu melalui panggilan telefon atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Dato’ Rusdi Mohd Isa menegaskan sebarang panggilan atau mesej yang mendakwa mewakili NSRC adalah penipuan, susulan satu laporan polis diterima pada 24 Disember lalu melibatkan kes penyamaran sebagai pegawai NSRC dan polis.

"Mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC mendakwa nombor telefon mangsa telah disalahguna bagi tujuan penyebaran pautan bantuan kerajaan.

"Mangsa kemudian disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis yang menyatakan mangsa telah terlubat dalam ke pengubahan wang haram selain dikaitkan sebagai pemilik akaun keldai," katanya menerusi kenyataan.

Menurut Rusdi lagi, mangsa yang terpedaya seterusnya diarahkan untuk menyerahkan kad ATM beserta nombor PIN kononnya bagi tujuan siasatan, sebelum menyedari wang dalam akaun berkenaan dikeluarkan tanpa kebenaran.

"Mangsa menyedari wang di dalam akaunnya telag berkurangan dan dikeluarkan tanpa pengetahuan dan kebenaran secara berperingkat," jelasnya.

Rusdi menjelaskan, tiada sebarang siasatan dijalankan hanya melalui panggilan telefon, sebaliknya individu yang terlibat akan dipanggil hadir ke pejabat pegawai penyiasat bagi tujuan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali.

"Segera buat laporan polis sekiranya mengesyaki anda telah menjadi mangsa penipuan," tegasnya.

NSRC ialah sebuah pusat kawalan khas bawah seliaan polis, yang ditubuhkan bagi menangani penipuan kewangan dalam talian secara pantas dan bersepadu.