SHAH ALAM, 25 OGOS: Sindiket penipuan dikesan menawarkan bayaran serendah RM250 hingga RM500 bagi mendapatkan akaun bank orang awam untuk dijadikan akaun keldai.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Selangor, Asisten Komisioner Izwan Abd Karim berkata tawaran itu digunakan untuk merekrut pemilik akaun sebelum akaun berkenaan dimanfaatkan bagi transaksi wang hasil jenayah.
“Scammer menawarkan bayaran sekitar RM250 hingga RM500 untuk menggunakan akaun seseorang.
“Disebabkan tertarik dengan bayaran tersebut, ada yang membenarkan akaun mereka digunakan sehingga akhirnya akaun berkenaan dijadikan akaun keldai,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Izwan berkata sindiket mempunyai pengurus akaun keldai yang ditugaskan merekrut atau membeli akaun bank milik orang awam.
Akaun berkenaan kemudian digunakan dalam rangkaian transaksi sindiket sekali gus membolehkan dalang sebenar berselindung di sebalik identiti pemilik akaun.
Menurutnya, wang hasil penipuan boleh dipindahkan melalui beberapa lapisan transaksi dalam tempoh hanya beberapa minit.
Wang itu juga boleh ditukarkan kepada aset atau mata wang kripto selain disalurkan melalui perniagaan yang sah.
Taktik berkenaan antara faktor yang menyukarkan pihak berkuasa mengesan rantaian transaksi serta menjejaki dalang sebenar sindiket.
Justeru, Izwan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan atau membenarkan akaun bank digunakan pihak lain semata-mata untuk mendapatkan bayaran.
“Jangan menjadi keldai akaun.
“Jangan benarkan akaun kita digunakan oleh scammer untuk melindungi atau menjalankan transaksi hasil penipuan mereka,” katanya.






