Scammer ada ‘skrip’, polis dedah taktik buat mangsa panik hilang pertimbangan

30 Ogos 2026, 4:00 AM
Scammer ada ‘skrip’, polis dedah taktik buat mangsa panik  hilang pertimbangan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Memiliki pendidikan tinggi, kerjaya profesional atau celik teknologi bukan jaminan seseorang akan terselamat daripada menjadi mangsa scam.

Doktor, pensyarah dan pegawai bank antara golongan berpendidikan tinggi yang turut menjadi mangsa penipuan, sekali gus menepis persepsi bahawa scam hanya mudah memperdayakan warga emas atau individu kurang celik teknologi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner (ACP) Izwan Abd Karim berkata perkembangan teknologi menyebabkan sesiapa sahaja kini berpotensi menjadi mangsa tanpa mengira usia, pendidikan atau status sosioekonomi.

Golongan muda, profesional dan pelajar juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa pelbagai jenis penipuan.

“Scammer tidak lagi mengenal mangsa. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa scam.

“Ia tidak mengenal umur, latar belakang pendidikan mahupun status sosioekonomi,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Scammer sudah sediakan ‘skrip’

Izwan berkata antara sebab mangsa mudah terjerat adalah kerana sindiket tidak bertindak secara sembarangan, sebaliknya menggunakan teknik kejuruteraan sosial atau social engineering untuk mempengaruhi psikologi mangsa.

Malah, sindiket mempunyai skrip yang disediakan lebih awal bagi membolehkan mereka memanipulasi emosi dan tindakan individu yang menjadi sasaran.

Antara teknik utama digunakan ialah mewujudkan desakan masa atau sense of urgency sehingga mangsa berada dalam keadaan panik dan terburu-buru.

Scammer misalnya mendakwa akaun mangsa akan dibekukan dalam tempoh 15 minit jika arahan tidak dipatuhi atau polis akan datang membuat tangkapan dalam tempoh 10 minit.

Tekanan sedemikian menyebabkan mangsa panik sekali gus menghalang mereka daripada berfikir secara rasional sebelum mengambil tindakan.

‘Jangan beritahu sesiapa’

Teknik kedua ialah mengasingkan mangsa daripada individu yang mungkin dapat menyedarkan mereka mengenai penipuan tersebut.

Menurut Izwan, scammer boleh mengarahkan mangsa supaya tidak menceritakan perkara itu kepada ahli keluarga atau pegawai bank dengan alasan mereka sedang terbabit dalam “siasatan sulit”.

Taktik pemencilan itu bertujuan memastikan mangsa tidak berpeluang mendapatkan pandangan atau bantuan pihak lain.

Sindiket turut mengeksploitasi kewibawaan atau authority bias dengan menggunakan bahasa rasmi, gelaran dan pangkat tertentu bagi meningkatkan keyakinan mangsa.

Ada yang menyamar menggunakan gelaran seperti Datuk, DSP atau ACP selain menggunakan nombor waran palsu dan nombor kes mahkamah untuk menakutkan mangsa.

Akhirnya, mangsa percaya individu yang menghubungi mereka benar-benar mewakili polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau pihak berkuasa lain.

Beri untung kecil sebelum ‘jerat’ mangsa

Dalam kes penipuan pelaburan pula, sindiket menggunakan teknik pengkondisian atau conditioning bagi membina kepercayaan secara berperingkat.

Mangsa mungkin diberikan keuntungan kecil pada peringkat awal sehingga yakin bahawa pelaburan tersebut benar-benar memberikan pulangan.

Selepas kepercayaan berjaya dibina, mangsa dipujuk memasukkan wang dalam jumlah lebih besar.

Penipuan pelaburan tidak wujud antara kategori scam yang banyak berlaku di Selangor dengan sindiket menawarkan pulangan lumayan melalui media sosial atau aplikasi tertentu.

Ada yang menjanjikan keuntungan sehingga 50 peratus dalam tempoh seminggu atau sebulan bagi menarik mangsa membuat pelaburan.

AI jadikan penyamaran lebih meyakinkan

Ancaman scam kini semakin mencabar apabila sindiket mula menggunakan kecerdasan buatan (AI) termasuk teknologi pengklonan suara atau voice cloning.

Teknologi itu membolehkan suara ahli keluarga, ibu bapa, rakan atau individu terdekat ditiru sebelum digunakan untuk menyamar dan meminta bantuan kewangan.

Selain itu, deepfake boleh digunakan untuk memanipulasi wajah seseorang dan mewujudkan gambaran seolah-olah individu berkenaan benar-benar seorang pegawai polis, bank atau agensi kerajaan.

Scammer juga menggunakan caller ID spoofing untuk memanipulasi identiti pemanggil sehingga nombor yang tertera pada telefon mangsa kelihatan seperti talian rasmi sesuatu agensi.

Jangan panik, buat pengesahan

Justeru, Izwan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan meragukan, sebaliknya menamatkan panggilan dan membuat semakan melalui saluran rasmi.

Masyarakat juga perlu memahami prosedur asas agensi kerajaan bagi mengenal pasti arahan mencurigakan.

Beliau menegaskan tiada pegawai polis akan meminta seseorang memindahkan wang secara langsung ke akaun peribadi atau akaun pihak ketiga untuk tujuan siasatan.

Sebagai benteng daripada menjadi mangsa, masyarakat disaran mengamalkan 3S — Semak, Sekat dan Sahkan.

Apa-apa portal, aplikasi atau akaun mencurigakan perlu disemak, panggilan meragukan perlu disekat manakala dakwaan seseorang yang mengaku mewakili pihak berkuasa, bank atau agensi tertentu perlu disahkan melalui saluran rasmi.

Dalam dunia scam yang semakin canggih, pengetahuan semata-mata belum tentu mencukupi. Keupayaan untuk berhenti, berfikir dan membuat pengesahan sebelum bertindak boleh menjadi benteng daripada terjerat dengan manipulasi sindiket.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.