Mangsa scam jangan panik, ini tindakan dalam satu jam pertama

29 Ogos 2026, 2:00 AM
Mangsa scam jangan panik, ini tindakan dalam satu jam pertama

SHAH ALAM, 29 OGOS: Panik, malu atau terus meratapi kehilangan wang bukan tindakan yang sepatutnya dilakukan apabila seseorang menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan atau scam.

Sebaliknya, tempoh sekitar satu jam pertama selepas menyedari wang dipindahkan kepada scammer dianggap detik kritikal atau golden hour yang perlu dimanfaatkan untuk bertindak segera.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Izwan Abd Karim berkata tindakan pantas membolehkan usaha menyekat transaksi dan mengesan laluan wang dilakukan sekiranya wang berkenaan masih belum dikeluarkan.

“Bagi individu yang telah menjadi mangsa scam, pertama sekali, jangan panik.

“Mangsa mempunyai tempoh sekitar satu jam yang kita panggil sebagai golden hour. Dalam tempoh tersebut, beberapa tindakan perlu dilakukan dengan segera,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau berkata mangsa perlu segera menghubungi talian 997, iaitu Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), bagi membolehkan tindakan diselaraskan bersama institusi perbankan.

Menurutnya, langkah itu penting dalam usaha menyekat transaksi dan mengesan laluan wang sebelum ia dikeluarkan atau dipindahkan lebih jauh oleh sindiket.

Hubungi bank, buat laporan polis

Selain menghubungi NSRC, Izwan berkata mangsa perlu menghubungi bank menerusi talian penting rasmi bagi memaklumkan mengenai transaksi mencurigakan dan mengambil tindakan berkaitan akaun atau transaksi berkenaan.

Pada masa sama, laporan polis perlu dibuat dengan kadar segera di mana-mana balai polis berdekatan.

Tindakan pantas itu penting memandangkan sindiket penipuan hari ini beroperasi secara tersusun dan mempunyai rangkaian khusus untuk menguruskan wang hasil penipuan.

Izwan menyifatkan operasi sindiket scam hari ini seperti sebuah syarikat multinasional kerana mempunyai struktur tertentu termasuk pusat panggilan, pengurus akaun keldai, pasukan teknikal dan siber serta pasukan pengubahan wang haram.

Menurutnya, wang hasil penipuan boleh dipindahkan menerusi pelbagai lapisan transaksi, ditukarkan kepada aset atau mata wang kripto serta disalurkan melalui perniagaan yang sah.

Lebih membimbangkan, keseluruhan proses itu boleh berlaku dalam tempoh beberapa minit.

Scammer tidak pilih mangsa

Dalam pada itu, masyarakat juga tidak seharusnya beranggapan hanya warga emas atau individu kurang celik teknologi berisiko menjadi mangsa.

Izwan berkata perkembangan teknologi menyebabkan scammer kini tidak lagi mengenal mangsa berdasarkan usia, tahap pendidikan atau status sosioekonomi.

Golongan muda, pelajar dan profesional turut menjadi mangsa, termasuk individu berpendidikan tinggi seperti pensyarah, doktor serta pegawai bank.

Warga emas dan pesara pula sering menjadi sasaran penipuan pelaburan tidak wujud dan love scam kerana dipercayai mempunyai simpanan persaraan serta tabungan yang besar.

Antara jenis penipuan yang banyak dilaporkan termasuk pelaburan tidak wujud, penipuan e-dagang, phone scam, pinjaman tidak wujud, love scam dan e-financial scam.

Sindiket turut semakin licik dengan mengeksploitasi perkembangan semasa selain menggunakan teknologi termasuk pengklonan suara (voice cloning), video deepfake dan caller ID spoofing untuk menjadikan penyamaran lebih meyakinkan.

Amalkan 3S: Semak, Sekat, Sahkan

Bagi mengelakkan menjadi mangsa, Izwan menasihatkan masyarakat supaya mengamalkan prinsip 3S — Semak, Sekat dan Sahkan.

Orang ramai perlu menyemak portal, aplikasi atau akaun yang mencurigakan, termasuk menggunakan kemudahan Semak Mule disediakan PDRM.

Panggilan dan nombor mencurigakan pula perlu disekat, manakala pautan daripada sumber tidak dikenali tidak seharusnya ditekan sewenang-wenangnya.

Setiap panggilan yang mendakwa daripada pihak berkuasa, bank atau agensi kerajaan juga perlu disahkan melalui talian rasmi agensi terbabit sebelum sebarang tindakan dilakukan.

Masyarakat turut diingatkan supaya tidak sesekali berkongsi maklumat sulit seperti nombor PIN, kata laluan dan OTP atau membenarkan akaun bank digunakan pihak lain sehingga menjadi akaun keldai.

Paling penting, sekiranya sudah menjadi mangsa, jangan berlengah.

Ingat talian 997 dan manfaatkan golden hour dengan bertindak secepat mungkin.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.