SHAH ALAM, 25 OGOS: Sindiket penipuan dalam talian kini beroperasi secara tersusun seperti syarikat multinasional, dengan setiap anggota memainkan peranan khusus untuk memperdaya mangsa dan memindahkan wang hasil penipuan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Izwan Abd Karim berkata, sindiket terbabit mempunyai pusat panggilan, pengurus akaun keldai, pasukan teknikal dan siber serta kumpulan yang menguruskan pengubahan wang haram.
Menurutnya, operasi merentasi sempadan itu boleh dikategorikan sebagai jenayah terancang rentas negara.
“Sindiket scam yang beroperasi hari ini boleh diibaratkan seperti sebuah entiti atau syarikat multinasional. Mereka mempunyai struktur yang teratur,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Izwan berkata, pusat panggilan sindiket boleh beroperasi dari dalam atau luar negara, manakala anggotanya dibekalkan skrip khusus untuk memperdaya mangsa. Pengurus akaun keldai pula merekrut individu atau mendapatkan akaun bank orang awam bagi menerima dan memindahkan wang hasil penipuan.

“Pasukan teknikal dan siber membangunkan aplikasi serta laman sesawang palsu, mengurus infrastruktur teknologi maklumat dan melakukan penyamaran talian bagi meyakinkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, wang mangsa akan dipindahkan melalui beberapa akaun sebaik sahaja diterima, selain ditukarkan kepada aset atau mata wang kripto serta disalurkan melalui perniagaan sah bagi mengaburkan sumber asal.
“Semua proses itu boleh berlaku dalam tempoh hanya beberapa minit,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa perlu segera membuat laporan selepas menyedari ditipu bagi meningkatkan peluang wang berkenaan disekat sebelum dipindahkan ke akaun lain.
Izwan berkata, siasatan menjadi lebih sukar apabila pusat panggilan dan pelayan sindiket ditempatkan di luar negara, termasuk Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Indonesia.
Menurutnya, sindiket mengambil kesempatan daripada perbezaan bidang kuasa dan undang-undang antara negara, manakala penggunaan akaun keldai serta mata wang kripto menyukarkan pengesanan dalang dan aliran wang.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa melalui perkongsian maklumat dan risikan, termasuk bagi menjalankan serbuan serta membawa pulang atau mengekstradisi individu yang dikenal pasti sebagai dalang sindiket penipuan.






