MB santuni penduduk Gombak, hulur bantuan kepada memerlukan

26 Dis 2025, 10:22 AM
MB santuni penduduk Gombak, hulur bantuan kepada memerlukan

GOMBAK, 26 DIS: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Dato’ Seri Amirudin Shari apabila beliau turun padang menyantuni penduduk Gombak menerusi Program Ziarah Kasih.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu memberi peluang untuk beliau bertemu secara langsung dengan penduduk setempat, mendengar isu komuniti dan meninjau projek pembangunan di kawasan berkenaan.

“Menjelang penghujung tahun, saya turun padang menziarahi penduduk Gombak bagi mendengar sendiri permasalahan mereka serta menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat jumaat pada 26 Disember 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Saya juga akan menziarahi penduduk selama tiga hari sempena Festival Darul Ehsan Berselawat pada 28 Disember, dengan harapan dapat mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih, hari ini.

Terdahulu, Amirudin menunaikan solat Jumaat bersama kariah di Masjid Gombak Utara sebelum meneruskan program dengan menziarahi beberapa penduduk termasuk Siti Alyaa Athira serta mantan Ketua Kampung Simpang Tiga, Normanidah Omar.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada Tok Jamal, mantan Ketua Kampung Gombak Utara, yang baru-baru ini diuji dengan pemergian anak serta musibah yang menimpa isterinya.

Jamaludin Mahyuddin Mantan Ketua Kampung

Tok Jamal, 77, atau Jamaludin Muhyuddin, menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar yang turun padang menyalurkan bantuan serta memberi sokongan moral kepada keluarganya.

“Saya amat bersyukur kerana Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang membantu kami sekeluarga. Anak keenam saya yang orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia pada 23 Disember lalu manakala isteri saya pula ditimpa musibah kesihatan.

Kehadiran beliau memberi sokongan moral yang sangat diperlukan dan saya berharap beliau terus dikekalkan sebagai Ahli Parlimen Gombak atas keprihatinannya terhadap penduduk setempat,” ujarnya.