HULU SELANGOR, 14 DIS: Program Ziarah Kasih sempena Rewang Komuniti Strata menjadi platform Kerajaan Negeri untuk mendekati masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, program berkenaan membolehkan kerajaan mendengar secara langsung permasalahan penduduk yang memerlukan tindakan segera bagi meringankan beban mereka.
“Sebagai contoh hari ini, sebuah kediaman pesakit barah payudara terpaksa dipotong bekalan elektrik oleh tuan rumah susulan kegagalan membayar sewa rumah dan bil utiliti selama tiga bulan.

“Kita mengambil pendekatan membantu secara terus dengan melunaskan tunggakan bil berkenaan serta mencarikan kediaman baharu yang lebih mampu milik melalui Rumah Selangorku, dengan kadar sewaan RM250 sebulan berbanding RM600 sebelum ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membantu mereka yang ditimpa musibah melalui agensi berkaitan, termasuk memberi penjelasan kepada individu yang mungkin terlepas pandang atau merasakan diri tidak layak menerima bantuan.
Terdahulu, menerusi program itu, Borhan mengunjungi sembilan kediaman di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa yang dihuni penduduk berdepan masalah kesihatan.
Turut mengiringi beliau ialah wakil beberapa agensi, antaranya Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
Sementara itu, M. Sugana, 52, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan pemimpin negeri yang membantu mencarikan kediaman lebih murah dan berkemampuan untuknya sekeluarga.

“Ini bukan kali pertama bekalan elektrik dipotong kerana kegagalan membayar sewa rumah. Anak-anak juga tidak mampu membantu kerana gaji sekitar RM1,500 sebulan, selain perlu menampung kos rawatan kemoterapi.
“Apabila ditawarkan rumah dengan sewaan lebih rendah, saya sangat bersyukur kerana ia dapat meringankan beban keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Suriatun Mohd Ali, 41, berkata ibunya disahkan menghidap barah limfoma sejak dua tahun lalu dan kini berada pada tahap empat, selain turut mengalami masalah jantung.

“Ibu mengalami kecederaan patah kaki pada 2022 dan tidak lama selepas itu disahkan menghidap barah limfoma. Kami kini menunggu pemeriksaan susulan bagi mengetahui keadaan kesihatan terkini selepas menjalani kemoterapi.
“Saya bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana ia dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Ziarah Kasih merupakan antara pengisian utama Program Rewang Komuniti Strata yang mula dilaksanakan pada 2024.
Program yang diilhamkan oleh EXCO perumahan dan kebudayaan itu bertujuan merapatkan hubungan komuniti pangsapuri, memupuk nilai murni serta mengangkat potensi masyarakat bandar dalam pelbagai aspek.
Inisiatif tersebut turut menyasarkan peningkatan kesejahteraan sosial, keharmonian kejiranan dan kemakmuran dalam kalangan penghuni perumahan bertingkat, iaitu segmen perumahan yang semakin berkembang pesat di Selangor.


