SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersedia melaksanakan caj fi kelestarian seperti yang diumumkan Kerajaan Selangor berkuat kuasa 1 Januari ini.
Datuk Bandar Klang berkata kutipan fi daripada pengunjung semasa pendaftaran masuk di semua premis penginapan bertujuan menampung kos pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan.

“Fi kelestarian ini juga akan digunakan bagi membiayai inisiatif pemeliharaan alam sekitar serta memastikan kelangsungan dan kelestarian industri pelancongan di Selangor. MBDK menyokong penuh inisiatif ini selain meningkatkan kualiti pengalaman pelancong tempatan mahupun antarabangsa,” kata Datuk Abd Hamid Hussain seperti dilapor Sinar Harian.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan fi kelestarian bagi pengunjung penginapan bertujuan memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim menjelaskan mekanisme kutipan akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan, manakala hotel hanya berperanan sebagai pengurus.
Kadar fi kelestarian ditetapkan mengikut jenis penginapan:
RM7 bagi hotel lima bintang
RM5 bagi hotel empat bintang
RM3 untuk hotel tiga bintang
RM2 bagi rumah inap atau AirBNB
Hotel bajet dan asrama pelancongan dikenakan RM2 setiap bilik semalam
Hotel tanpa penggredan dikenakan RM5 setiap bilik
Selain itu, tapak perkhemahan dan penginapan menggunakan kenderaan seperti campervan turut dikenakan RM3 semalaman.
Tempat penginapan berdaftar di bawah program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga akan dikenakan fi RM3 setiap bilik semalam.


