Pengurus kilang cemas kereta dihimpit treler 22 tayar di PLUS

26 Dis 2025, 12:43 AM
Pengurus kilang cemas kereta dihimpit treler 22 tayar di PLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Seorang pengurus kilang berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dihimpit sebuah treler 22 tayar secara mengejut ketika melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kilometer (KM) 453, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 petang ketika lelaki tempatan berusia 53 tahun itu dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Country Homes, Rawang.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Hyundai Sonata yang dipandu mangsa berada di lorong tengah sebelum dihimpit treler berkenaan yang secara tiba-tiba menukar laluan dari lorong kanan.

“Treler berkenaan menghimpit kenderaan mangsa di lorong tengah sebelum masuk semula ke lorong kanan dan berhenti secara mengejut di hadapan sebuah kereta lain di lorong kanan.

“Tindakan itu menyebabkan kenderaan di belakang membrek secara mengejut namun tidak berlaku pelanggaran,” katanya seperti dilapor BH Online.

Mohd Hafiz berkata, akibat kejadian tersebut, kereta mangsa mengalami kerosakan selepas bergesel dengan treler terbabit.

Beliau memaklumkan setakat ini pemandu treler dan pemandu sebuah lagi kenderaan yang terlibat masih belum tampil membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada pemanduan tidak berhemah oleh pemandu treler,” katanya.

Terdahulu, polis mengesan satu rakaman video berdurasi 50 saat yang tular di media sosial memaparkan insiden berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Nizam Othman di talian 017-625 4779 bagi membantu siasatan.