Warga emas rugi RM1 juta diperdaya 'pegawai NSRC'

25 Dis 2025, 1:49 PM
Warga emas rugi RM1 juta diperdaya 'pegawai NSRC'

SHAH ALAM, 25 DIS: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan telefon melibatkan individu yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman memaklumkan, mangsa berusia 63 tahun menerima panggilan yang mendakwa akaun bank miliknya terbabit dalam aktiviti penipuan.

Susulan itu, mangsa diarahkan membuat beberapa transaksi pemindahan wang kononnya bagi tujuan siasatan dan penyelesaian kes.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat pemindahan wang tambahan ke akaun lain.

Jumlah kerugian dilaporkan mencecah RM1,005,500.

Jabatan itu menegaskan bahawa NSRC, polis atau mana-mana agensi penguat kuasa tidak akan menjalankan sebarang urusan siasatan melalui panggilan telefon.

“Pihak berkuasa tidak akan menghubungi orang awam untuk memaklumkan tangkapan, pembekuan aset atau meminta bayaran melalui telefon,” menurut kenyataan JSJK di Facebook.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan serta tidak mematuhi sebarang arahan pemindahan wang daripada individu tidak dikenali.

Sebarang maklumat atau aduan berkaitan kes penipuan boleh disalurkan kepada NSRC menerusi talian 997.