SHAH ALAM, 24 DIS: Semua premis makanan di kawasan komersial bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diwajibkan menyediakan dua unit tong sampah bermula tahun depan sebagai langkah memperkemas pengurusan sisa pepejal dan menyokong kelestarian alam sekitar.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi hantaran di Facebookmemaklumkan satu tong sampah perlu dikhususkan bagi pengasingan sisa makanan, manakala satu lagi untuk sisa bukan makanan.
“Sisa makanan yang telah diasingkan akan dikutip oleh kontraktor lantikan Majlis sebelum dihantar ke pusat kompos bagi diproses menjadi baja kompos,” menurut MBSA.
PBT itu memberitahu, pelaksanaan pengasingan sisa di peringkat premis makanan mampu mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal bandar.
Langkah tersebut juga selaras dengan usaha MBSA memperkukuh amalan pengurusan sisa yang lebih sistematik, mesra alam dan mampan di kawasan pentadbirannya.
Orang ramai atau pemilik premis yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1316 atau 1547, atau melalui emel sisapepejal@mbsa.gov.my


