SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan Operasi Halangan bagi mengambil tindakan terhadap premis perniagaan yang menyalahgunakan petak parkir awam dengan meletakkan kerusi dan meja di sekitar Bandar Mahkota, Banting.
MPKL memaklumkan, operasi penguatkuasaan itu dijalankan susulan aduan serta pemerhatian terhadap penyalahgunaan ruang parkir awam oleh peniaga sekali gus menjejaskan kemudahan orang ramai.
“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu kesalahan meletakkan atau menyebabkan diletakkan barang yang berhubung dengan tred di tempat awam tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook
Selain itu, MPKL turut melaksanakan tindakan sitaan di bawah Seksyen 46(3)(a), Akta 133, melibatkan beberapa unit kerusi dan meja yang diletakkan secara tidak sah sehingga menghalang penggunaan petak parkir awam.
Menurut MPKL, operasi berkenaan bertujuan menangani sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang menjadikan ruang parkir awam sebagai tempat menyimpan atau mengembangkan aktiviti perniagaan.
“Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan kelancaran lalu lintas, keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan terhadap peruntukan undang-undang,” kata kenyataan itu.
MPKL menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan menasihatkan semua peniaga supaya mematuhi undang-undang serta tidak mengambil kesempatan terhadap kemudahan awam yang disediakan untuk kegunaan bersama.


