MPAJ bina rumah kucing, pupuk kesedaran terhadap kebajikan haiwan peliharaan

24 Dis 2025, 3:44 AM
MPAJ bina rumah kucing, pupuk kesedaran terhadap kebajikan haiwan peliharaan

SHAH ALAM, 24 DIS: Sebuah rumah kucing akan dibina di Jalan Kerja Air Lama, Ampang Jaya sebagai inisiatif kebajikan haiwan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), yang dijangka siap Julai depan.

Projek Rumah Kucing MPAJ itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas yang selamat, bersih serta kondusif selaras dengan keperluan kebajikan haiwan dan keselesaan persekitaran.

"Selain berfungsi sebagai pusat perlindungan sementara, kemudahan ini turut dirancang sebagai pusat pendidikan komuniti bagi memupuk kesedaran awam serta tanggungjawab masyarakat terhadap kebajikan haiwan peliharaan.

"Bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ mengadakan lawatan tapak Projek Rumah Kucing MPAJ baru-baru ini bagi tujuan penandaan tapak pembinaan sebelum kerja binaan dimulakan," maklum MPAJ menerusi Facebook.

Menurutnya, lawatan tapak itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan itu dalam memastikan setiap projek kemudahan awam dirancang dan dilaksanakan secara teratur, sistematik dan berkesan, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti serta pengurusan kebajikan haiwan secara mampan.

"MPAJ komited memastikan projek ini dilaksanakan dengan terancang dan berkesan demi kebajikan haiwan serta kesejahteraan komuniti," katanya.