SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 700 usahawan mikro di Selangor menerima peranti Point of Sales Platform Selangor (POSPLATS) sebagai usaha memperkukuh pendigitalan pengurusan perniagaan di peringkat komuniti dan perusahaan kecil.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Mohd Azri Zainal Nor berkata setiap usahawan yang menyertai program U-Plats Digital dibekalkan satu set peranti berkenaan bagi memudahkan pengurusan transaksi, jualan dan pembelian perniagaan secara sistematik.

“Ia membolehkan mereka merekod pembayaran, mengurus transaksi jualan harian, membuat pesanan barangan serta mengawal pembelian bahan mentah secara lebih cekap, sistematik dan telus,” katanya.
Beliau menjelaskan, penggunaan teknologi tersebut secara langsung meningkatkan keupayaan pengurusan operasi, transaksi jualan dan kewangan perniagaan secara lebih tersusun serta berasaskan digital.
“Inisiatif ini bukan sekadar pemberian peranti, tetapi merupakan pelaburan strategik untuk membolehkan usahawan kecil mengurus operasi dan kewangan perniagaan secara lebih profesional serta berasaskan data,” katanya.
Mohd Azri berkata demikian kepada Media Selangor selepas Majlis Penyerahan Peranti POSPLATS di Bangunan Darul Ehsan, di sini, hari ini.
Menurutnya, peranti POSPLATS turut dipadankan dengan BIZ App bagi menyokong pengurusan perniagaan digital secara menyeluruh, termasuk penyimpanan rekod kewangan, pemantauan prestasi perniagaan serta analisis jualan secara masa nyata.
“Sebagai nilai tambah, penerima program turut dibekalkan kad SIM percuma dengan kemudahan data Selangor selama setahun khusus untuk kegunaan perniagaan, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan proses pendigitalan dalam kalangan usahawan mikro,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyertaan usahawan orang kurang upaya (OKU) melalui kerjasama strategik bersama Program SAY Lead, bagi memastikan akses digital yang lebih inklusif dan saksama.
“Ini adalah tambahan yang kita berikan kepada usahawan OKU dalam program SAY Lead kerana SAY juga merupakan rakan strategik kami dalam pelaksanaan program U-Plats Digital.
“Pelaksanaan program yang kini memasuki tahun kedua membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Selangor dalam membina ekosistem keusahawanan digital yang mampan, berdaya saing dan berteraskan teknologi,” katanya.
Terdahulu, seramai 10 usahawan OKU serta penerima daripada Majlis Daerah Sabak Bernam menjadi kumpulan terawal menerima peranti POSPLATS dalam majlis berkenaan.




