BINGKAS Plus bukan sekadar bantuan, jalan keluar kemiskinan

23 Dis 2025, 2:30 AM
BINGKAS Plus bukan sekadar bantuan, jalan keluar kemiskinan

SHAH ALAM, 23 DIS - Sekurang-kurangnya 20 peratus penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dijangka keluar dari kitaran kemiskinan melalui pelaksanaan program BINGKAS Plus.

Menurut EXCO kebajikan masyarakat, penerima bantuan RM300 selama 18 bulan diberi padanan program latihan tertentu bagi meningkatkan keupayaan seterusnya menjana pendapatan.

Anfaal Saari memberitahu BINGKAS Plus dirangka sebagai jalan keluar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan tunai jangka panjang melalui peningkatan kemahiran.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Anfaal Saari bertemu media setelah menerima sumbangan 200 gulung kain darpada KHATAM kepada DUN Taman Templer pada 8 Disember 2025.FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

"Kita mahu mereka lebih mandiri melalui re-skill atau kemahiran baharu supaya mampu menghasilkan pendapatan sendiri.

"Jika sebahagian mereka keluar kemiskinan, malah memberi semula melalui zakat atau cukai, itu tanda aras kejayaan BINGKAS Plus," katanya dalam program Skop terbitan Media Selangor.

Beliau berkata cabaran utama menoktahkan kemiskinan antaranya mengubah pemikiran segelintir asnaf yang cenderung mengumpul pelbagai bantuan sehingga tidak lagi berminat untuk bekerja.

“Ada yang dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), zakat dan BINGKAS hingga mencecah RM2,000 sebulan lalu, sehingga mereka kata tidak perlu bekerja. Kitaran ini perlu dihentikan.

"Kita mahu keluarga berpendapatan rendah bukan sahaja dibantu tetapi diperkasa agar mereka dapat keluar daripada kitaran kemiskinan dan hidup lebih sejahtera," katanya lagi.

Selain itu, Anfaal berkata subsidi RM100 penjagaan anak enam tahun di bawah melalui inisiatif MamaKerja mengurangkan perbelanjaan taska dan menambah penyertaan wanita dalam tenaga kerja.