Keluarkan 470 kebenaran merancang, Sepang mendahului PBT lain

22 Dis 2025, 6:49 AM
Keluarkan 470 kebenaran merancang, Sepang mendahului PBT lain

SHAH ALAM, 22 DIS: Sebanyak 470 kebenaran merancang dikeluarkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) setakat 8 Disember, tertinggi di Selangor tahun ini, kata yang dipertuanya.

Dr Ani Ahmad menjelaskan jumlah tersebut mengatasi Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, yang dijangka berterusan dari tahun ke tahun, lapor The Star.

“Kami menjangkakan trend ini akan berterusan memandangkan Sepang kekal menarik kepada pelabur, khususnya disebabkan pembangunan berskala besar dalam kawasan pihak berkuasa tempatan ini,” katanya.

Menurutnya, minat pelabur ke daerah berkenaan memberangsangkan, lebih-lebih lagi selepas Sepang dan Kuala Langat dimasukkan dalam Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS).

Ani berkata inisiatif pembangunan utama peringkat negeri itu bertujuan memperkasa selatan Selangor sebagai hab ekonomi dan pelaburan strategik bagi menarik projek berimpak tinggi.

Projek utama antaranya Taman Aero Selangor bagi memperkukuh hab kargo dan logistik Asean menerusi pembuatan komponen pesawat, serta aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan teknologi aeroangkasa.

“Arah pembangunan ini juga selari visi kelestarian Sepang bawah matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 9, yang menumpukan industri, inovasi dan infrastruktur," katanya.

Tambahnya, dasar Speed Selangor, yang mempercepat dan memudah cara proses kelulusan, khususnya bagi perniagaan, pelabur dan projek pembangunan, akan bertindak sebagai pemangkin.