SHAH ALAM, 21 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuka permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Menengah bagi sesi persekolahan 2026.
Menurut Jais, antara syarat kemasukan termasulah pelajar dan ibu bapa mestilah warganegara Malaysia, selain memenuhi syarat kelayakan akademik yang ditetapkan jabatan.
“Pelajar yang memohon hendaklah berumur 13 tahun pada tahun kemasukan, mempunyai minat mendalami ilmu agama di peringkat menengah serta komited mengikuti pengajian sehingga tamat.
"Pemohon juga perlu lulus Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Pentaksiran Sekolah Kebangsaan (KPM) sebagai syarat kelayakan asas,” menurut kenyataan Jais.
Agensi itu memaklumkan pendaftaran dan penempatan Kelas KAFA Menengah bagi sesi 2026 ditawarkan di lapan daerah di Selangor, iaitu Petaling, Gombak, Klang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang, melibatkan Sekolah Rendah Agama (SRA) serta masjid terpilih.
Inisiatif ini bagi memastikan akses pendidikan Islam lebih meluas dan inklusif kepada masyarakat setempat.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi Jais esekolah.jais.gov.my sebelum tarikh tutup pada 26 Januari depan..
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Unit Pendidikan Islam Pejabat Agama Daerah masing-masing atau Unit Pengajian Tinggi dan Sepanjang Hayat, Bahagian Pendidikan Islam JAIS melalui talian WhatsApp 010-343 7054.



