SHAH ALAM, 21 DIS: Universiti Selangor (Unisel) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dalam satu majlis di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan berkata pemeteraian itu bertujuan memperkukuh jaringan dakwah, pembangunan akademik serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan institusi pendidikan.
“Kerjasama ini membuka ruang kolaborasi dalam pelbagai bidang termasuk penganjuran program dakwah, penyelidikan, latihan, pembangunan modal insan serta penglibatan komuniti.
“Ia sejajar dengan peranan Unisel sebagai institusi pengajian tinggi yang mendukung nilai keilmuan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Ir Dato’ Dr Hassan Basri bersama Pendaftar Unisel Rokma Mat dan saksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada Sesi Bicara Eksekutif serta Majlis Perasmian dan Menandatangani MoU yang turut melibatkan Yadim dan beberapa institusi pengajian tinggi awam serta swasta.



