Tiada unsur jenayah, kematian wanita di Sungai Gombak akibat lemas

21 Dis 2025, 4:20 AM
Tiada unsur jenayah, kematian wanita di Sungai Gombak akibat lemas

SHAH ALAM, 21 DIS: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah membabitkan penemuan mayat seorang wanita yang ditemukan terapung di Sungai Gombak berhampiran pusat beli-belah di Jalan Ipoh, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata wanita berusia 36 tahun itu disahkan lemas dan jasadnya sudah dituntut keluarga, lapor Sinar Harian.

“Punca kematian akibat lemas dan setakat ini tiada unsur jenayah dalam kes terbabit. Polis merekodkan empat keterangan termasuk daripada ibu mangsa,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang wanita ditemukan terapung di Sungai Gombak selepas orang awam memaklumkan penemuan berkenaan kepada pihak berkuasa.

Siasatan awal mendapati mangsa tidak bekerja dan menetap di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Polis memaklumkan mangsa dilaporkan keluar dari rumah sejak 17 Disember lalu dan gagal pulang sehingga mayatnya ditemukan, selain disahkan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai mengalami kemurungan selepas teman lelakinya dipenjarakan berkaitan kes dadah.