SEPANG, 21 OKT: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk melaksanakan proses perundangan berhubung pertuduhannya mengasari dua anggota polis.
“Hari ini adalah proses untuk saya, orang panggil jalani satu proses perundangan sebagaimana yang saya sebut tempoh hari, dalam sidang media saya.
“So, I will let the court (menjalankan) the due process today,” katanya kepada pemberita, sebelum memasuki Mahkamah Majistret 2 di sini, bagi menghadapi pertuduhan dalam kes berkenaan.
Mohd Shuhaily merakamkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepadanya, dalam kes berkenaan.
“Terima kasih saya kepada seluruh masyarakat yang memberi sokongan daripada sudut doa, text messages, daripada seluruh lapisan masyarakat.
“Itu yang membuatkan saya mempunyai kekuatan dan juga keyakinan dalam meneruskan apa ini lah, proses-proses ini,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan selepas kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah hari ini.
“Jadi ini akan menjadi sidang media terakhir saya dalam perihal proses ini dan selepas saya selesai sahaja majlis ataupun proses di atas nanti, pihak-pihak saya punya peguam akan bercakap bagi pihak saya,” katanya.
Semalam, Mohd Shuhaily berkata beliau bersedia menghadapi proses sistem perundangan negara dan menerima apa-apa jua keputusan mahkamah berhubung kes berkenaan.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan, susulan video tular yang memaparkan beliau memarahi dua individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.







