SHAH ALAM, 21 OKT: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada bulan lalu.
Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, hari ini, lapor Berita Harian.
Semalam, Mohd Shuhaily berkata beliau bersedia menghadapi proses sistem perundangan negara dan menerima apa-apa jua keputusan mahkamah berhubung kes berkenaan.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan, susulan video tular yang memaparkan beliau memarahi dua individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.







