SHAH ALAM, 21 DIS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah berjaya menangkap seekor ular sawa batik bersaiz besar dalam satu operasi di Kampung Beting, semalam.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah memaklumkan, seramai tiga anggota APM digerakkan ke lokasi sekitar jam 6 pagi selepas menerima laporan daripada penduduk.
"Menurut pengadu, beliau terkejut apabila melihat seekor ular Sawa Batik bersaiz besar melingkar di atas para sebuah kandang Kambing. Hidupan liar itu yang juga telah menyerang seekor kambing namun tidak sempat untuk menelannya," menurut agensi itu di Facebook.
Operasi diketuai Lans Koperal (PA) Muhammad Iqbal Ruslan bersama dua anggota lain berjaya mengawal serta menangkap hidupan liar tersebut dengan selamat.
Difahamkan, ular sama pernah ditangkap di lokasi berkenaan sebelum ini dengan anggaran berat sekitar 120 kilogram.
Ular sawa batik itu kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.




