Lebih 2,000 anggota APM Selangor sedia digerakkan hadapi bencana

30 Sep 2026, 1:00 AM
Lebih 2,000 anggota APM Selangor sedia digerakkan hadapi bencana
Lebih 2,000 anggota APM Selangor sedia digerakkan hadapi bencana
Lebih 2,000 anggota APM Selangor sedia digerakkan hadapi bencana

SHAH ALAM, 29 SEPT: Lebih 2,000 anggota sukarelawan dan sokongan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor bersedia digerakkan bagi membantu operasi menyelamat dan menangani bencana di negeri ini.

Pengarah APM Selangor YS Kol (PA) Fazlisyah Muslim berkata kekuatan anggota itu diselia pegawai tetap APM Selangor dan boleh digerakkan mengikut keperluan ketika berlaku bencana atau kecemasan.

Jelas beliau, keupayaan mobilisasi APM Selangor turut diperkukuh menerusi konsep zon yang membolehkan sokongan antara daerah serta kerjasama dengan negeri berdekatan termasuk APM Wilayah Persekutuan dan Perak.

“Buat masa ini APM Selangor kita mempunyai lebih 2,000 keanggotaan, anggota sukarela dan lain-lain anggota sokongan yang boleh membantu kita bila berlaku bencana.

“Walaupun mungkin kita menghadapi kekangan daripada segi logistik dan anggota tetapi kita dapat memperbaikinya dengan konsep kerjasama antara negeri berhampiran,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-74 Pertahanan Awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Sementara itu, Fazlisyah berkata kesiapsiagaan menghadapi bencana tidak seharusnya hanya bergantung kepada agensi penyelamat, sebaliknya orang awam juga perlu mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk bertindak balas secara kendiri.

Katanya, fungsi APM bukan hanya ketika bencana berlaku sebaliknya turut melibatkan usaha meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat melalui latihan dan program kesedaran.

“Peranan pertahanan awam bukan hanya ketika respon, tapi sebelum respon kita memberi latihan kepada masyarakat itu adalah lebih penting.

“Kita mohon sokongan daripada semua pihak termasuk media untuk menjelaskan tentang kepentingan orang awam untuk bertindak balas secara kendiri sebelum agensi penyelamat tiba, kita mahu mengelakkan risiko kehilangan nyawa atau benda yang lebih besar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata APM Selangor terus melaksanakan pelbagai program seperti Kampung Siaga, latihan orang awam dan program kesedaran bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam menghadapi bencana serta kecemasan.

“Kerjasama berterusan antara APM, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat penting bagi memperluas kesedaran serta memastikan tindakan awal dapat dilakukan dengan lebih berkesan ketika berlaku bencana,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.