DUNGUN, 9 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengeluarkan arahan pengoperasian kepada semua negeri termasuk kesiapsiagaan aset dan anggota pada tahap optimum sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman berkata persiapan itu merangkumi pemeriksaan serta penyelenggaraan aset darat dan air selain mempertingkatkan latihan anggota bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir.
Beliau berkata tumpuan kesiapsiagaan lazimnya diberikan kepada negeri di Pantai Timur serta Johor yang dikenal pasti antara kawasan yang sering berdepan risiko banjir ketika MTL.
“Lebih 7,000 pegawai dan anggota APM sepenuh masa di seluruh negara akan digerakkan sekiranya berlaku banjir, selain dibantu anggota tambahan serta pasukan anggota sukarelawan sebagai sokongan sekiranya berlaku bencana berskala besar.
"Untuk tiga negeri di Pantai Timur, setiap negeri mempunyai pasukan first responder dan kira-kira 300 hingga 400 anggota boleh digerakkan untuk kesiapsiagaan di setiap negeri," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan Integrasi dan Pertandingan Kemahiran Tunas Pertahanan Awam di sini hari ini.
MTL lazimnya berlaku antara Nov hingga Mac dengan beberapa negeri berdepan risiko banjir.
Ghazali berkata antara peranan APM ketika bencana bukan sahaja melibatkan operasi pemindahan mangsa dari kawasan terjejas malah turut merangkumi penugasan anggota di pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata APM akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa di PPS terpelihara.
"APM turut menempatkan pasukan perubatan bersama ambulans untuk memberikan rawatan awal dan membawa mangsa yang memerlukan rawatan lanjut ke hospital atau klinik kesihatan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 430 peserta terdiri daripada 215 pelajar lelaki dan 215 pelajar perempuan dari seluruh negeri kecuali Sarawak menyertai Perkhemahan Integrasi dan Pertandingan Kemahiran Tunas Pertahanan Awam bermula Isnin lepas hingga hari ini.
Katanya, antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesiapsiagaan murid dalam bidang pertahanan awam, khususnya dalam menghadapi situasi kecemasan dan bencana.







