SHAH ALAM, 29 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor memperkukuh keupayaan menangani kecemasan, bencana dan krisis menerusi penubuhan Selangor Special Incident and Emergency Response Rapid Team (SIERRA).
Pengarah APM Selangor, YS Kol (PA) Fazlisyah Muslim berkata Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif tersebut sebelum konsep berkenaan dipertimbangkan untuk diperluas ke peringkat kebangsaan.
Menurutnya, SIERRA berperanan sebagai pasukan sokongan kepada pasukan utama APM, selain memperkukuh fungsi dan peranan pertahanan awam dalam menangani pelbagai bentuk insiden.
“Pasukan ini baharu sahaja ditubuhkan dan kita masih dalam proses memperkuatkannya. Hasrat kita adalah supaya ia menjadi salah satu komponen yang boleh menyokong pasukan utama.
“Nama SIERRA sendiri membawa mesej jelas yang menuntut pasukan bukan sahaja bersedia tetapi mampu bergerak pantas, mempunyai kemahiran khusus dan memberikan respons yang berkesan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-74 Pertahanan Awam di Selangor, di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Fazlisyah berkata pasukan SIERRA ketika ini mempunyai 40 anggota sukarelawan yang akan menjalani latihan intensif dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Katanya, latihan tersebut penting bagi membentuk pasukan yang lebih berketerampilan serta mempunyai kemahiran khusus dalam menangani insiden.
“Diharapkan pasukan ini dapat diberikan latihan yang lebih intensif dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan kita akan melihat satu pasukan yang lebih berketerampilan dan mempunyai ilmu khusus,” katanya.
Menurutnya, skop tugas Pasukan SIERRA tidak terhad kepada pengurusan bencana, sebaliknya turut meliputi insiden kecemasan dan krisis.
“APM di bawah Akta 221 melaksanakan fungsi dan peranan bukan hanya kepada kecemasan dan bencana tetapi juga kepada krisis dan kalau boleh saya sebut, turut terlibat dalam perkara yang melibatkan insiden keganasan mahupun peperangan,” katanya.
Beliau berkata penubuhan pasukan itu diharapkan dapat melengkapkan komponen sedia ada dalam pertahanan awam, sekali gus membolehkan fungsi APM dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Jelas beliau, pihaknya juga telah membentangkan cadangan penubuhan pasukan berkenaan di peringkat lebih tinggi dengan Selangor dipilih sebagai negeri perintis bagi pelaksanaannya.
“Kita harapkan dengan terhasilnya pasukan ini dan terlaksananya fungsi yang mereka akan ada pada masa hadapan, peringkat lebih tinggi iaitu di ibu pejabat dan seluruh negara boleh menerima konsep ini,” katanya.









