SELAYANG, 20 DIS: Program Bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dijenamakan semula sebagai Bantuan Rahmah Insan Istimewa (BRIS) bermula tahun depan, dengan peruntukan awal sebanyak RM1 juta.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata penjenamaan semula itu bertujuan memperkukuh sokongan menyeluruh kepada orang kurang upaya (OKU) di negeri ini serta penjaga mereka, merangkumi bantuan kewangan dan bukan kewangan.
Beliau berkata sepanjang tahun ini, ANIS telah menyalurkan bantuan berjumlah RM940,000 kepada penerima yang layak.
“Tahun hadapan kita akan tingkatkan lagi bantuan ini dengan penjenamaan baharu sebagai Bantuan Rahmah Insan Istimewa atau BRIS. Untuk peringkat awal, kita sasarkan peruntukan RM1 juta.
“Terdapat juga bantuan yang tidak semestinya berbentuk kewangan seperti saringan awal dan perkhidmatan klinik bergerak.
“Ia dirancang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan bagi mengenal pasti kanak-kanak atau pelajar di sekolah yang mempunyai keperluan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Selayang, hari ini.
Program ANIS yang dilaksanakan sejak 2019 menyediakan bantuan kepada keluarga yang mempunyai anak OKU bagi mengurangkan beban kos pengurusan dan perbelanjaan.
Bantuan bersifat sekali beri (one-off) itu melibatkan jumlah maksimum sehingga RM5,000 setahun bagi setiap isi rumah, merangkumi perbelanjaan pendidikan dan pembelajaran seperti pusat terapi atau kelas khas, keperluan ubat-ubatan, pembelian mesin perubatan serta barangan berkaitan.







