SHAH ALAM, 11 JUN: Projek pembinaan sekolah yang dinantikan penduduk Bukit Antarabangsa dijangka memasuki fasa tender dalam masa terdekat selepas Kebenaran Merancang (KM) baharu diperoleh bulan ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin berkata proses berkenaan mengalami sedikit kelewatan selepas Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meminta permohonan KM dikemukakan semula walaupun kelulusan terdahulu telah diperoleh.
“Proses itu sebenarnya masih berjalan. Cuma berlaku sedikit kelewatan apabila KM yang lama diminta untuk dikemukakan semula oleh pihak MPAJ.
“Kita telah berbincang dengan pihak berkaitan dan MPAJ juga memberi jaminan untuk mempercepatkan proses tersebut.
“Jika semuanya berjalan lancar, KM baharu dijangka diperoleh pada Jun ini dan proses tender boleh dimulakan sama ada pada Jun atau Julai,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini projek pembinaan sekolah yang sekian lama dinantikan penduduk di Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya.
Menurut Kamri, isu berkaitan tapak pembinaan telah diselesaikan menerusi penyelarasan melibatkan tanah kerajaan dan sebahagian tanah milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, lokasi pembinaan sekolah itu kekal seperti yang dirancang dan tiada lagi halangan berkaitan status atau pemilikan tanah.
“Isu tanah sebenarnya telah selesai lebih awal. Kini kita hanya menunggu proses tender dilaksanakan selepas KM baharu diluluskan.
“Saya juga telah mendapatkan pengesahan projek ini tidak terjejas oleh sebarang pengurangan peruntukan dan kekal dalam perancangan pembangunan pendidikan kerajaan,” ujarnya.
Beliau berharap pembinaan sekolah itu dapat dimulakan secepat mungkin memandangkan Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi tetapi masih belum memiliki sekolah sendiri.
Menurutnya, ketiadaan sekolah di kawasan berkenaan menyebabkan ramai murid terpaksa berulang-alik ke sekolah yang jauh, sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.
“Penduduk di kawasan ini dianggarkan mencecah 75,000 orang, namun masih belum mempunyai sekolah sendiri.
“Kemudahan ini amat diperlukan bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan akses pendidikan kepada anak-anak penduduk setempat,” katanya.







