PETALING JAYA, 18 DIS: Projek pembangunan semula bakal dilaksana di tanah hak milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membabitkan Kompleks C dan tanah rizab kerajaan di Lorong Sultan Pusat Bandar, Seksyen 52, di sini.
Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata projek menelan belanja hampir RM1 bilion dijangka bermula tahun hadapan dengan beberapa pembangunan bakal dilaksana di kawasan tersebut.
“Ini merupakan mercu baharu Petaling Jaya, kami tidak keluarkan dana apa-apa sebaliknya ia merupakan penswastaan, akan ada pemaju yang melaksanakan projek ini.
“Perkara ini sudah diusulkan di peringkat Kerajaan Negeri awal tahun lalu dan mereka bersetuju untuk buat pembangunan semula. Kita juga serahkan kepada Kerajaan Negeri untuk memilih pemaju,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBPJ di ibu pejabat MBPJ di sini hari ini.
Jelas Mohamad Zahri, mercu baharu Petaling itu membabitkan pembangunan seperti pangsapuri, kedai, pusat konvensyen dengan anggaran 5,000 kapasiti dan perpustaan digital 10,000 kaki persegi.
“Selain itu, di situ juga akan ada pusat akuatik di mana ada tiga kolam renang saiz Olimpik, kolam kanak-kanak dan kolam rekreasi; ruang pejabat, ruang penonton, parkir, ‘skywalk’, dataran, pentas serta beberapa kemudahan lain seperti surau,” katanya.


